Wednesday, May 4, 2011

KAJIAN TINDAKAN

LAPORAN KAJIAN TINDAKAN PENGGUNAAN PERPUSTAKAAN
SK BATU BERENDAM 2, MELAKA


ABSTRAK
Masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu dapat membina satu tamadun atau bangsa yang Berjaya. Pembinaan budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat dapat dicapai dalam satu cara yang utama iaitu melalui tabiat membaca. Ini dapat dipupuk dan diamalkan sedari kecil melalui amalan yang berterusan serta melibatkan usaha pelbagai pihak . Salah satu usaha yang dijalankan ialah Program NILAM yang diperkenalkan bagi memupuk minat membaca di kalangan murid-murid sekolah rendah dan menengah. Namun begitu terdapat beberapa kekangan yang menghalang kejayaan usaha murni seperti kekurangan minat, tidak bermotivasi , tiada galakan serta kekangan masa. Menyedari hakikat ini, satu kajian telah dijalankan terhadap murid-murid Sekolah Kebangsaan Batu Berendam 2,bagi mengenalpasti dengan lebih mendalam masalah-masalah tersebut. Bagi menjalankan kajian ini kumpulan sasaran seramai 47 orang murid Tahun 4 Alfa dipilih.






1.O Refleksi masalah yang lalu:

Kelas 4 Alfa merupakan kelas yang terbaik berbanding 4 kelas yang lain . Muridnya terdiri daripada 23 orang murid lelaki dan 24 orang murid perempuan. Jumlah keseluruhan kelas tersebut ialah seramai 47 orang. Semua murid kelas ini terdiri murid berbangsa melayu yang berasal dari latar belakang , sosio ekonomi yang berbeza. Berdasarkan laporan Rekod Bacaan NILAM bagi 6 bulan pertama tahun 2008 saya dapati sebahagian besar murid Tahun 4 Alfa belum mencapai tahap pembacaan 100 buah buku.
Melalui rekod pencapaian NILAM bagi tahun 2005, 2006 dan 2007 bagi murid tersebut didapati bahawa Buku Rekod Bacaan NILAM bagi murid-murid tersebut tidak menunjukkan bahawa berlaku aktiviti bacaan yang dicatatkan. Begitu juga dengan analisa bagi rekod penggunaan perpustakaan tahun 2007, didapati murid-murid ini yang sebelum ini adalah murid Tahun 3 Alfa tidak berkunjung ke perpustakaan untuk aktiviti membaca. Apabila hal ini saya ajukan kepada guru kelasnya, beliau memberitahu bahawa , memang murid-murid 4 Alfa ini kurang minat membaca dan tidak suka melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan oleh panitia-panitia mata pelajaran.




2.0 Fokus kajian /isu keprihatinan:
Hasil dari analisis yang saya dapati dari rekod automasi perpustakaan dan rekod penggunaan perpustakaan bahawa :
a. hanya 25 % sahaja murid berkunjung ke perpustakaan pada waktu rehat untuk membaca buku.
b. Hanya 10 % sahaja yang meminjam buku
c. Datang ke perpustakaan semata-mata untuk memenuhi masa lapang ( Datang bermain-main dan berbual)
d. Datang ke perpustakaan untuk mendapatkan kelegaan kerana cuaca panas. ( Perpustakaan mempunyai system penghawa dingin)

Namun begitu sekiranya masalah ini tidak diatasi saya khuatir :
a. Penguasaan mereka dalam pembacaan rendah
b. Pengetahuan mereka tentang hal ehwal semasa kurang
c. Prestasi akademik mereka juga tidak stabil.
d. Minat membaca mereka akan menurun
e. Kelemahan ini akan berterusan hingga ke sekolah menengah.

Saya berpendapat bahawa masalah ini perlu dikaji supaya tindakan untuk mengatasinya dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.



3.0 Objektif Kajian

3.1Objektif Umum :
Meningkatkan minat murid terhadap aktiviti bacaan bagi
menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran bahasa.

3.2 Objektif Khusus :
3.2.1 Peningkatan dalam Rekod Bacaan NILAM
3.2.2 Murid mempunyai keyakinan untuk melibatkan diri dalam
aktiviti yang melibatkan pembacaan seperti pidato, bercerita,
bersyair, perbahasan dan sebagainya.

4.0 Kumpulan sasaran
47 orang murid Tahun 4 Alfa. Terdiri daripada 23 orang murid lelaki dan 24
orang murid perempuan.

5.0 Pelaksanaan Kajian

5.1 Tinjauan awal masalah
Sebelum langkah-langkah yang seterusnya diambil dalam menjalankan kajian ini, tinjauan terhadap masalah yang dikenalpasti akan dibuat bertujuan untuk memahami dengan lebih mendalam masalah tersebut. Tinjauan dilakukan dengan mengutip data seperti menggunakan soalan berikut :
5.1.1 Adakah anda menggunakan Perpustakaan?
5.1.2 Adakah anda menggunakan bahan-bahan rujukan di Pusat Sumber Sekolah.
5.1.3 Bolehkah penggunaan Pusat Sumber Sekolah yang berkesan mampu meningkatkan prestasi pencapaian pelajar.
5.1.4 Adakah rekod bacaan NILAM mereka menunjukkan peningkatan?
5.1.5 Adakah penyertaan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan panitia meningkat ?



5.2 Perlaksanaan aktiviti
5.2.1 Aktiviti 1
Guru menjalankan aktiviti bacaan pagi pada setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu bermula pada jam 7.15 – 7.30 pagi. Pengawas pusat sumber akan mengedarkan buku di dataran perhimpunan. Semua murid tahun 1 hingga tahun 5 dikehendaki membaca buku yang diedarkan dan bercerita dengan kawan tentang buku yang telah dibaca. Seorang dari murid tahun 4 Alfa akan diminta untuk membacakan buku yang telah dibaca di hadapan murid-murid yang lain. Murid yang berani membacakan buku ceritanya akan diberi satu lencana berbentuk bintang menandakan dia telah membaca di khalayak ramai.
Aktiviti bacaan pagi dijalankan pada setiap pagi Isnin hingga Khamis jam 7.00 – 7.35 pagi.


Setelah 2 minggu menjalankan aktviti bacaan pagi ini, saya dapati bahawa terdapat peningkatan dari segi jumlah murid dari tahun 4 Alfa yang mengunjungi perpustakaan dan meminjam buku. Semasa waktu rehat juga ramai murid dari tahun 4 Alfa membaca di perpustakaan.
5.2.2 Aktiviti 2
Saya meminta guru Bahasa Melayu menggalakkan murid merekodkan aktiviti bacaan mereka dalam buku Rekod Bacaan NILAM. Hasilnya didapati bahawa dalam masa 3 minggu telah ramai murid yang telah membaca lebih dari 100 buah buku. Oleh itu saya telah mengambil tindakan meminta senarai nama murid yang telah melepasi tahap Rakan Pembaca dari guru Bahasa Melayu mereka. Murid yang telah mencapai tahap Rakan Pembaca ini saya anugerahkan dengan lencana Rakan Pembaca. Mereka inilah yang akan membacakan buku cerita pada waktu perhimpunan pagi. Nama mereka juga dipamerkan di bahagian sudut NILAM di pusat sumber sekolah.

Senarai nama murid yang menerima anugerah NILAM dipamerkan di Sudut NILAM

5.2.3 Aktiviti 3
Bagi menambahkan lagi minat murid-murid 4 Alfa ini tehadap penggunaan perpustakaan, saya telah membuat satu projek penghasilan buku skrap menggunakan surat khabar yang disediakan oleh Pusat Sumber sekolah. 47 orang murid ini dibahagikan dengan 5 kumpulan yang akan menghasilkan buku skrap mengikut tajuk-tajuk yang disediakan. Buku skrap yang telah disiapkan akan dipamerkan di suatu sudut di pusat sumber.

Buku skrap hasil kerja murid-murid 4 Alfa.





5.2.4 Aktiviti 4
Bagi menambahkan lagi pembacaan murid-murid ini saya telah memberikan pinjaman secara pukal kepada kelas berkenaan. Ia bermaksud sejumlah buku ( 100 buah) dipinjamkan kepada kelas berkenaan. Ini membolehkan murid-murid membuat pembacaan dan merekodkan aktiviti pembacaan di dalam Buku Rekod Bacaan NILAM. Hasilnya didapati bahawa murid-murid berlumba-lumba untuk membaca banyak buku.
Aktiviti bacaan menggunakan pinjaman pukal

Aktiviti bacaan semasa waktu penggunaan perpustakaan.
Setelah guru menjalankan Program Bintang semakin ramai murid 4 Alfa datang ke perpustakaan meminjam buku terutama pada waktu rehat, waktu penggunaan kelas dan waktu selepas habis persekolahan. Malah ada murid yang meminjam buku dan memulangkannya pada keesokan hari.
* Bilangan murid yang meminjam buku dari perpustakaan meningkat dari 10 orang kepada 34 orang.
Berdasarkan data di atas, didapati bahawa 22 orang murid telah mencapai Tahap Gangsa bagi Program Jauhari , 3 orang Perak dan seorang Emas. Ini sangat berbeza dengan tahap pembacaan murid sebelum kajian dijalankan, di mana hanya 16 orang murid sahaja yang telah mencapai Tahap Gangsa dalam Program Jauhari.



6.0Refleksi Kajian

Sebelum kajian tindakan ini dijalankan murid-murid 4 Alfa tidak menonjol dalam sebarang aktviti yang dianjurkan oleh panitia-panitia sekolah. Pada waktu rehat mereka lebih suka menghabiskan masa dengan bersembang kosong. Mereka juga mempunyai sikap kurang keyakinan diri walaupun terdiri daripada murid-murid yang bijak. Tidak ada seorang pun dari murid 4 Alfa yang mahu secara sukarela untuk menyertai pertandingan-pertandingan sempena program yang dianjurkan oleh panitia Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris seperti bercerita, bersajak, berpantun dan sebagainya. Malah yang amat mengecewakan apabila ditanya mengapa tidak membaca buku cerita, mereka menyatakan bahawa “ Tidak masuk periksa la , cikgu”


Berikut adalah bebarapa alasan murid untuk tidak membaca :

a.Tidak mempunyai “smart kad” untuk meminjam buku.
b.Tidak ada masa, kerja rumah banyak.
c.Tidak ada hadiah untuk pembaca terbanyak
d.Waktu rehat singkat
e.Cikgu tidak suruh rekodkan buku NILAM
f.Ibu bapa lebih suka anak-anak baca buku pelajaran daripada baca buku cerita.





6.1Kesan kajian kepada murid

Selepas kajian yang dijalankan murid-murid 4 Alfa sangat bermotivasi untuk membaca buku-buku yang dipinjamkan kepada mereka. Aktiviti bacaan pagi yang dibuat 3 kali seminggu dapat menarik minat murid melibatkan diri dan berani tampil ke hadapan memberikan pendapat.

Setelah kajian dijalankan terdapat ramai dari kalangan murid 4 Alfa yang mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan agama, boria, choral speaking dan sebagainya. Mereka juga menunjukkan peningkatan dari segi sahsiah dan prestasi akademik. Selepas daripada itu, saya telah mengambil langkah memberikan pinjaman secara pukal kepada kelas 4 Alfa bagi membolehkan mereka bertukar-tukar buku dengan lebih mudah lagi.

Dengan bimbingan guru mereka mula menunjukkan keyakinan diri untuk tampil ke hadapan dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh panitia-panitia. Mereka mula memenuhi perpustakaan pada waktu rehat untuk membaca buku. Semasa waktu pertukaran guru mata pelajaran, mereka tidak lagi membuat bising sebaliknya senyap mebaca buku. Kelas mereka juga mudah dikawal.

Aktiviti penghasilan buku skrap pula mereka telah menggalakkan murid-murid ini mengunjungi perpustakaan untuk mencari maklumat. Mereka sungguh bangga bila mendapati hasil buku skrap mereka telah dipamerkan di suatu sudut di dalam perpustakaan sebagai bahan bacaan. Malah ada yang bertanya kepada saya, bila akan diadakan lagi kerana tersangat seronok.



6.2Kesan kajian kepada guru
Sebagai seorang Guru Perpustakaan dan Media, saya rasa tanggungjawab saya dalam meningkatkan penggunaan perpustakaan dan secara tidak langsung meningkatkan pembacaan di kalangan murid-murid terlaksana. Setiap hari, saya dapati perpustakaan saya dipenuhi dengan ramai murid. Secara tidak langsung murid-murid kelas 4 Alfa ini telah berjaya menarik minat murid lain mengunjungi perpustakaan.



7.0Cadangan untuk kajian seterusnya

Setelah usaha saya berjaya dalam meningkatkan bilangan murid 4 Alfa yang minat membaca dan berkunjung ke perpustakaan, saya memilih untuk menyelesaikan permasalahan 10 orang murid yang masih lagi di tahap yang amat rendah dari segi jumlah bacaan di kelas tersebut. Ini adalah kerana saya berpendapat, walaupun permasalahan ini nampak remeh dan tidak mencabar, tetapi sekiranya dibiarkan berlarutan akan menjadi’ barah yang sukar diubati”.
Saya akan juga medekai mereka secara individu dan memberi motivasi supaya meningkatkan pembacaan. Saya juga akan cuba untuk melibatkan mereka dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

No comments:

Post a Comment